Wednesday, April 28, 2010

Siasatan kes remaja mati kena tembak telus, adil

ANGGOTA forensik membuat pemeriksaan di lokasi kejadian remaja mati ditembak anggota polis di Shah Alam, Isnin lalu.

Sumber BERITA HARIAN 2010/04/29

Polis jamin tak sembunyi fakta, tubuh panel khas pantau

KUALA LUMPUR: Polis memberi jaminan siasatan insiden remaja 15 tahun yang mati ditembak anggotanya di Shah Alam, Isnin lalu, akan dilakukan dengan adil, telus dan tanpa menyembunyikan sebarang fakta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata walaupun anggotanya yang terbabit dalam kejadian itu, tiada apa yang perlu disembunyikan daripada umum.

“Siasatan akan dikendalikan polis Selangor dengan pemantauan sepenuhnya Bukit Aman. Saya memberi jaminan siasatan akan dijalankan terperinci dari segenap sudut bagi memastikan keadilan kepada semua pihak terbabit.

“Kita (Bukit Aman) akan memantau siasatan... Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah menubuhkan panel khas sendiri... jadi tiada apa yang hendak disembunyikan, kita tidak akan sorok apa-apa.

“Kita akan siasat sama ada tindakan anggota polis (yang menembak remaja itu) mengikut prosedur ditetapkan,” katanya selepas merasmikan insignia baru dan penyerahan kenderaan kepada Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM, Cheras, semalam.

Beliau mengulas kenyataan ibu mangsa, Norsiah Mohamad, kelmarin, yang meminta siasatan kes anaknya dijalankan Bukit Aman.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan kes berkenaan dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini, selepas polis mengambil keterangan saksi utamanya, iaitu rakan mangsa yang melarikan diri ketika insiden itu.

“Kita sudah memanggil semula rakan mangsa yang juga saksi utama dan berada bersama-sama mangsa ketika kejadian bagi mendapatkan keterangan penuh.

“Keterangannya sudah diambil pada malam kejadian, tetapi masih kurang jelas dan tidak lengkap menyebabkan dia dipanggil semula hari ini (semalam),” katanya.

Ditanya berapa anggota yang melepaskan tembakan atau berapa tembakan dilepaskan dalam insiden itu, Khalid enggan mengulas kerana siasatan masih dijalankan.

Selain itu, Khalid turut meminta semua pihak termasuk ahli politik tidak mencampuri urusan dan siasatan polis kerana ia akan menimbulkan kekeliruan masyarakat dan merunsingkan keluarga mangsa.

“Ada pihak tertentu termasuk ahli politik yang mengandaikan apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian dan ada juga mendesak polis supaya tidak melindungi atau menutup fakta tertentu dalam kes itu”, katanya.

Pada masa sama, Khalid turut meminta pihak media massa untuk tidak membuat spekulasi.

"Kita sedih dengan apa berlaku, tapi pada masa sama kita tidak mahu pihak yang tidak ada kena mengena (dengan kes itu) mencampuri urusan dan mengganggu siasatan polis," katanya di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Shah Alam, semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...